Nur Kasih Part 7

 

 
Dulu memang tiada perancangan langsung di dalam buku catatan sebelum berkahwin. Hanya yang ada jumlah hantaran, bajet kenduri, kad jemputan, lokasi perkahwinan, mak andam, sewa kanopi, rahsia malam pertama dan lain-lain lagi tanpa tersentuh apatah lagi menyentuh soal tanggungjawab sedangkan perkahwinan itu amanah. Katanya cukup kursus pra-perkahwinan.
 
 
“Mulut memang mudah menutur namun apakah akan sepersis perilaku?”
 
 
Kita mudah memahami nota-nota cinta di dalam drama bersiri, telenovela, di helaian novel atau cerpen. Sesungguhnya, adakala memang  benar juga apabila sampai kepada babak rumahtangga mithali, rumahtangga kecoh, rumahtangga hancur. Namun, ianya berlalu bagaikan air dan tidak ada muhasabah. Air mata bercucuran kerana terlalu emosi menonton drama kegemaran tetapi kita lupa bahawa kita mungkin akan menghadapi  keadaan yang sama kelak.
 
 
Kita ialah jiwa hamba. Jiwa kecil kita ini mudah tersentuh apabila perasaan tidak serasi dengan fitrah. Fitrah manusia normal senang hanyut sekiranya tiada iman sebagai pendinding. Kebal kita bukan kerana kuat atau sihat tubuh badan tetapi kuat iman menahan asakan bak jarum menusuk halus di setiap penjuru. Kadangkala apabila pernikahan terbina bukan kerana cinta kepada Ilahi maka tumbuhlah tunas-tunas lalang menghalang cahaya cinta Ilahi daripada terus menerjah ke sumur hati.
 
 
Mulalah timbul bibit-bibit di hati mahu berpisah atau baik hidup membujang. Kita juga lupa apabila sudah berkahwin tiada lagi wangian melekat di badan seperti seawal bercinta dahulu. Kini yang tinggal hanya bau yang tidak menyenangkan lantaran penat bekerja. Kini barulah kita tahu tembelang sebenar pasangan. Si suami bangun lewat tatkala waktu Subuh dan si isteri pulang lewat malam tanpa keizinan.
 
 
Memang susah mencari seorang Adam yang terfikir untuk berkahwin supaya mempunyai seorang Hawa yang halal baginya itu mengarah jalan menuju ke Syurga. Kita cuma terfikir kehidupan di dunia sahaja.  Apabila timbul soal perkahwinan ianya hanya berupa material luaran sahaja. Tiada lagi pertimbangan rohani dan tiada lagi soal kebahagiaan si dia, kebebasan si dia atau mengerti tentang si dia. Isteri pula hanya sekadar alat untuk melepaskan tempias nafsu semata-mata.
 
 
 
 
Kita bukan sahaja hipokrit dengan pasangan  malah bersikap munafiq dengan Allah SWT. Kita mengharapkan si dia sempurna tetapi adakah kita sedar pasangan kita juga menagih kebaikan dan tanggungjawab kita kepada institusi perkahwinan seperti yang kita ikrarkan dulu.
 
 
Benar qadha’ dan qadar adalah ketentuan daripada Maha Esa. Kita merancang tetapi Allah SWT yang menetukan soal  jodoh, maut, dan rezeki kita. Tidak penting di mana kita bermula tetapi ke mana kita berakhir. Perkahwinan memerlukan komitmen yang tinggi. Ianya umpama mengemudi sebuah kapal yang penuh dengan barangan dagangan untuk di layari di tengah-tengah lautan, ia adalah tanggungjawab. Ingat! Laut pula tidak pernah sunyi dari ombak dan pelayaran tetap diteruskan. Hanya yang tinggal ialah kebijaksanaan komunikasi antara nakhoda dan kelasinya.
 
 
Hari demi hari memang kita sering dihidangkan dengan masalah politik tanah air tetapi kita jangan lupa bahawa saban hari kita juga dihidangkan dengan masalah keruntuhan akhlak, masalah pergaulan bebas dan masalah sosial di sana sini tanpa ada lagi rasa malu asalkan nafsu dapat dipuaskan.
 
 
Cinta ialah sesuatu yang sering kita bicarakan, cuma cara dan kaedah kita bercinta sahaja yang berbeza namun ianya masih memerlukan penghayatan yang mendalam. Cinta yang kita mahukan adalah bersalut redha Ilahi, cinta kita kepada pasangan kerana cinta kita kepada Ilahi dan janganlah kita halalkan cinta sebelum berkahwin kerana ianya penuh noda. Berilah cinta kita sepenuhnya kepada pasangan.
 
 
Buatlah sesuatu atas dasar mencari redha Allah SWT walaupun perlakuan tidak semudah tutur kata. Perjuangan itu memang memenatkan dan kadangkala mengundang rasa putus asa. Namun, ketahuilah bahawa penat itulah yang bakal melahirkan izzah seseorang hamba dan sesungguhnya ketabahan tinggi nilainya di sisi Allah SWT.
 
 
Duhai isteri, belajarlah untuk menjadi sekuat Siti Hajar dan seteguh Siti Fatimah tatkala berhadapan dengan hidup yang serba kekurangan. Cinta mereka kepada Allah SWT tidak pernah kurang. Inilah mahar yang harus dibayar demi meraih kekuatan cinta abadi dan iman yang kukuh. Segala-galanya kerana Allah SWT.
 
 
Benarlah kata orang;
 
“Allah SWT bukan sahaja menguji cinta kita kepadanya tapi cinta kita kepada-Nya. Pulihkan cinta kalian kepada-Nya, demi cinta kalian kepadanya. “

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: